Nelayan di Wales terkejut melihat besi buruk yang tersangkut pada pukatnya adalah keris yang berasal dari Tanah Melayu!

Sungai Towy atau Tywi merupakan sungai yang terpanjang di Wales dengan ukuran sekitar 120 km! Selain terkenal sebagai lubuk ikan salmon, dasar sungai ini turut pernah menyimpan khazanah bersejarah yang dipercayai berasal dari Tanah Melayu.

Seorang nelayan yang juga tukang perahu kuno khas Wales bernama Andrew Davies langsung tidak menyangka besi buruk yang tersangkut pada pukatnya merupakan sebilah keris dengan nilai sejarah yang amat tinggi!

Apabila mengimbas kembali detik penemuan keris berkenaan kepada Wales Online, Andrew menyatakan:

“Saya keluar memancing pada satu malam dan sebaik sahaja menarik pukat, saya menemui keris ini. Sejujurnya saya berasa sangat terkejut kerana ini bukanlah tangkapan yang pernah saya lakukan”.

Sejurus selepas penemuan keris tersebut, Andrew terus membawa keris berkenaan ke muzium bagi membolehkan sebarang pemeriksaan untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai penemuan bersejarah tersebut dijalankan.

“Saya ingin tahu bagaimana keris ini boleh berada di Towy”.

Sementara itu, Gavin Evans yang bertugas sebagai kurator di muzium Carmarthenshire memaklumkan bahawa pihaknya telah menghantar beberapa gambar keris yang berkarat tersebut ke muzium di London namun masih belum mendapat sebarang maklum balas mengenainya.

Ujar Evans, “Saya belum mendapat sebarang perkembangan terkini daripada muzium tetapi yang pastinya, keris tersebut berasal daripada Malaysia”.

Tambah Evans lagi, sangkaan awalnya adalah keris tersebut mungkin berasal dari zaman Roman namun setelah meneliti ukiran-ukiran pada bilah keris, Evans yakin bahawa ia berasal daripada Tanah Melayu.

“Bahagian pemegangnya diperbuat daripada kayu dengan ukiran burung dipercayai diperbuat daripada tulang. Selain itu, terdapat juga sedikit tembaga padanya”.

“Saya percaya keris ini telah terbenam di dalam dasar sebelum ianya tersangkut pada pukat. Disebabkan itu, keris ini tidak mengalami kerosakan yang teruk”.

Bagaimanapun persoalan terbesar di sini adalah bagaimana keris dari abad ke-18 ini boleh berada di dasar Sungai Towy itu?

“Terdapat banyak kemungkinan tentang bagaimana ia boleh berakhir di Towy. Carmarthen dahulunya dikenali sebagai kawasan pelabuhan dan mungkin keris ini telah terjatuh ke dasar sungai”.

“Atau mungkin terdapat kemungkinan dan penjelasan yang lebih misteri. Mungkin keris ini adalah senjata pembunuhan yang telah dibuang ke sungai pada satu ketika dahulu? Siapa tahu?”.

Menarik sungguh kisah penemuan keris ini. Milik siapakah keris itu dan bagaimana ia boleh terbenam di dasar sungai Towy, Wales yang sangat jauh daripada tempat asalnya iaitu Tanah Melayu?

Era Baru

Sumber: Sumber