Shukri Yahaya dipuji Berani oleh ‘Minah Saleh’ kerana selamatkan mereka di tengah laut

KUALA LUMPUR: Biarpun kurang mahir dalam bidang sukan luncur ombak, pelakon, Shukri Yahaya, teruja apabila berjaya menyelamatkan pelancong asing yang terperangkap di lautan.

Shukri berkata, insiden spontan itu berlaku ketika dirinya sedang menjalani latihan babak dalam filem, Surf This Love (STL): Gelora Juara, yang menjalankan penggambaran di Bali, Indonesia.

“Ketika berada di laut, tiba-tiba saya terjumpa seorang ‘mat salih’ yang tersadai di tengah laut, sedang menantikan bantuan. Dia kemudiannya mengucapkan terima kasih dan mengambil papan luncur milik saya untuk ke pesisiran pantai.

“Pada mulanya saya terkapai-kapai juga tanpa papan luncur. Nasib baik pihak produksi ada menyediakan seseorang untuk menjaga keselamatan saya di laut. Jadi, dialah pula yang menyelamatkan saya.

“Pengalaman meluncur sendiri memberikan seribu makna kepada saya. Bahkan, saya mula berjinak-jinak untuk menjadikan aktiviti terbabit sebagai hobi. Insya-Allah, apabila ada kesempatan nanti, saya akan ke Pulau Tioman untuk belajar luncur ombak dengan lebih serius,” kata Shukri.

Dalam filem yang mula menemui penonton hari ini, Shukri, 29, menjayakan watak Billy, iaitu seorang pekerja sebuah pusat peranginan di Pulau Tioman. Pemuda berkenaan akhirnya jatuh cinta dengan seorang pelancong, Mia, lakonan Cristina Suzanne.

Surf This Love berkisar pada keazaman seorang anak muda untuk mengikut jejak langkah abangnya menjadi juara luncur ombak. Lalu, dia meminta bantuan seorang bekas juara yang tidak lagi aktif dalam sukan terbabit kerana kecederaan pada kaki dalam merealisasikan impiannya itu.

Pelakon yang diberi jolokan Jericho Rosales Malaysia itu turut menyuntik elemen komedi pada watak Billy bagi memberikan kelainan berbanding beberapa karakter lain dalam filem terbabit.

“Saya membuat kajian untuk karakter dibawakan, bagi membezakan ia dengan tiga lagi watak Trio Malaya yang diwujudkan dalam filem itu, iaitu Pekin Ibrahim, Josiah Hogan dan Mustaqim Bahadon.

“Justeru, saya menerapkan elemen komedi dengan menjadikan watak Billy sebagai budak ‘selenga’ yang secara tidak langsung dapat menambah warna dalam filem ini,” katanya yang bersedia melakonkan watak lawak pada masa akan datang jika diberikan peluang berbuat begitu.

 

Sumber: Bharian