‘Di Luar Rumah Dia Milik Masyarakat, Di Rumah Dia Milik Saya’ – Luah Isteri Jamal Abdillah Pernah Dihalau Peminat

Apabila seseorang individu itu berkahwin dengan seorang artis maka dirinya juga akan mendapat tempias populariti daripada pasangannya itu.

Kadang-kadang ada segelintir peminat yang terlalu obses dengan artis kesayangan mereka sehingga mereka terlupa yang artis itu sudah berkahwin.

Isteri kepada Raja Pop negara, Datuk Jamal Abdillah iaitu Zai Izzati Khiruddin berkongsi pengalamannya bahawa dia pernah dihalau oleh peminat kerana mereka mahu bergambar dengan suaminya.

“Saya pernah kena halau dengan peminat dan mereka cakap, saya tak nak bergambar dengan awak, saya nak bergambar dengan suami awak sahaja,” katanya kepada MH ketika bertemu di majlis sidang media mengumumkan persembahan istimewa daripada Jamal dan Dayang Nurfaizah pada 25 April nanti di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi.

Namun begitu, isteri kepada Jamal ini tidak cepat melatah dan terasa hati dengan kelakuan peminat suaminya terhadap dirinya.

“Saya tak simpan apa-apa dalam hati dan saya faham. Bagi saya di luar rumah dia milik masyarakat tapi bila di rumah dia milik saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Jamal berkata dia amat bersyukur kerana di usianya yang sebegini dia dikurniakan isteri.

“Saya dikurniakan isteri pada usia begini membuatkan saya amat menghargainya dan akan menjaganya sebaik yang mungkin meskipun jarak usia kami terlalu jauh,” katanya.

Jamal juga berkata sifat lemah lembut yang ada pada Zai Izzati membuatkan dia tertarik dan jatuh hati pada isterinya malah dia juga turut memberitahu bahawa anak-anaknya juga turut sayang dengan ibu tiri mereka ini.

Jarak 35 Tahun Bukan Halangan Cinta JAMAL & ZAI IZZATI, Tapi Inilah Sisi Positif & Negatifnya Bila Suami Berusia!

Jarak 35 Tahun Bukan Halangan Cinta JAMAL & ZAI IZZATI, Tapi Inilah Sisi Positif & Negatifnya Bila Suami Berusia!

Perbezaan jarak usia yang terlalu jauh kini bukanlah sesuatu yang asing bagi pasangan suami isteri di Malaysia.

Mungkin dulu ramai menyifatkan perkahwinan seperti ini ibarat satu paksaan atau bersifatkan materialistik semata-mata. Berbeza sekarang, masyarakat lebih terbuka dan percaya akan ketentuan jodoh yang ditetapkan-Nya.

Seperti yang viral semalam apabila Raja Pop, Dato’ Jamal Abdillah tampil memperkenalkan isterinya Datin Zai Izzati Khairuddin selepas berkahwin hampir setahun. Perkahwinan ini merupakan perkahwinan keempatnya selepas pernah berumah tangga dengan Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad.

Terharunya rasa apabila Dato’ Jamal bercerita tentang cinta pandang pertama mereka. Mereka hanya sempat berkenalan selama dua bulan sebelum bernikah dan hanya sempat berjumpa sekali saja sebelum majlis dilangsungkan pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak.

Kehadiran Datin Zai Izzati yang kini berusia 24 tahun merupakan satu anugerah Tuhan yang terindah buat suaminya. Selain mengubat kesunyian, isteri juga menjadi peneman setia ke mana saja.

Perkahwinan yang diatur keluarga itu turut menerima sambutan baik daripada anak-anak lelaki Dato’ Jamal iaitu Osama Yamani, 17, hasil perkahwinannya dengan Noraina dan Ahmad Zaki Yamani, 11, daripada isteri ketiganya, Fatimatuzahrah.

Sisi Positif

(a) Lebih berjaya

Ramai wanita muda yang tertarik dengan lelaki berusia kerana faktor material. Kerjaya mereka lebih kukuh dan lebih disegani berbanding lelaki muda. Ini juga bermakna, kehidupan anda dijamin stabil serta berkemampuan untuk membeli barangan mewah.

(b) Lebih matang

Pengalaman yang dilalui akan mendewasakan fikiran lelaki berusia. Inilah yang tidak dimiliki oleh kebanyakan lelaki muda yang mudah cemburu setiap kali melihat anda bercakap dengan lelaki lain. Mereka mampu berkompromi dengan ego sendiri dan melihat kehidupan ini dalam perspektif berbeza.

(c) Lebih hebat di ranjang

Kata orang, salah satu kerugian terbesar mengahwini lelaki berusia adalah kehidupan seks atau tarikan seksual yang membosankan. Realitinya, lelaki berusia jauh lebih hebat, malah mementingkan kepuasan isteri dahulu sebelum dirinya. Malah kini pengambilan ubat-ubatan tertentu juga mampu memanjangkan libido serta kesuburan mereka.

(d) Membuat anda berfikiran terbuka

Tanpa disedari, perkahwinan anda dengan lelaki berusia turut mengundang pandangan serong masyarakat. Ada yang melabel anda sebagai pengikis wang atau mengambil kesempatan terhadap krisis pertengahan usia yang dilalui. Namun keadaan ini akan membuat fikiran anda lebih terbuka dan matang meniti cabaran yang mendatang.

(e) Menghargai setiap detik

Bersama dengan lelaki berusia akan membuat anda lebih menghargai setiap waktu yang dilalui. Dia akan mengingatkan anda agar menghirup aroma bunga mawar di taman, bau rumput selepas hujan atau segala keindahan yang sering anda abaikan. Di samping itu, banyak ilmu praktikal atau kewangan yang dapat dikongsi bersama.

Sisi Negatif

(a) Ramai bekas kekasih atau isteri lama

Lelaki berusia mungkin mempunyai bekas isteri atau bekas kekasih yang lebih ramai daripada lelaki muda. Inilah yang menjadikan mereka lebih pintar dalam perhubungan. Mereka juga sering menyimpul persepsi bahawa semua wanita adalah sama.

(b) Mempunyai anak

Bergantung pada jarak usia si dia dan anda, ada segelintir daripada mereka yang telah memiliki anak serta mungkin hampir seusia dengan anda. Bersedialah untuk menjadi ibu segera atau anda berkemungkinan terpaksa bermusuh dengan mereka.

(c) Tidak mahu berkongsi minat

Been there and done that. Tidak ramai lelaki berusia yang mahu berkongsi minat, nilai, pendapat dan kepercayaan mereka dengan anda. Mereka juga tidak mahu melakukan sesuatu yang mengikut trend atau dilakukan oleh generasi anda.

(d) Menjadi semakin tidak berdaya

Untuk 10 tahun pertama, perkahwinan anda mungkin menyeronokkan. Namun terimalah hakikat bahawa si dia semakin berusia dan akhirnya anda perlu bersedia untuk menjaga atau menjadi balunya. Fikirkan semua situasi ini sedalam-dalamnya sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

Sumber: Nona
Sumber: mediahiburan