[Foto & Video] Bukan Duit Semata, Prihatin Pasangan Beckham ini Kepada Insan Kenya Yang Susah.

Kagum tengok sikap prihatin pasangan selebriti paling berpengaruh di dunia ni. Walaupun kaya dan ternama, tak sentiasa mendongak ke langit. Malah, sanggup meredah kawasan pinggiran dan bertemu golongan yang memerlukan semata-mata untuk menyampaikan bantuan. Kadang kala, orang yang sedang dilanda kesusahan ni bukan mahu bantuan duit saja tapi lebih kepada perhatian dan sokongan mental serta emosi. Dan, itulah yang dilakukan Victoria dan suaminya, David Beckham.

Berangkat ke Kenya pada pertengahan Mac lalu, kunjungan Victoria yang mewakili Sport Relief ke sana diterima baik penduduk tempatan. Tampil berbeza daripada penampilan biasanya yang elegan dan mewah, ibu kepada empat orang anak ini hanya mengenakan t-shirt dan jeans sepanjang berada di sana. Selain mendengar dan menyelami kesusahan masyarakat setempat, Victoria juga tak kekok beramah mesra bersama wanita di Nairobi di samping mempelajari kepada mereka teknik sukan boxing sebagai wadah yang membentuk kesihatan mental, emosi dan fizikal mereka.



Sport Relief merupakan sebuah pertubuhan kebajikan di United Kingdom (UK) yang mengetengahkan sukan dan hiburan bagi meraih dana dalam usaha membantu rakyat UK sendiri serta masyarakat di negara-negara miskin seluruh dunia.

Hujung Mac lalu pula David Beckham telah turun padang ke Indonesia bagi menjayakan 7 Fund miliknya menerusi UNICEF. Ia merupakan usaha berterusan Beckham sejak dilantik sebagai Duta UNICEF pada 2005 sebelum melancarkan 7 Fund, tiga tahun lalu. Sumbangan dana ini bertujuan membantu kanak-kanak di seluruh dunia terutama perempuan bebas daripada gejala buli, penderaan, perkahwinan kanak-kanak dan tak mendapat pendidikan di Indonesia, Nepal, Uganda dan El Salvador.

David Beckham bersama Sripun

Semasa misi tersebut, Beckham berpeluang bertemu dengan beberapa pelajar sekolah di Indonesia dan salah seorang daripadanya adalah Sripun berusia 15 tahun yang pernah menjadi mangsa buli.

Kalau tengok status dan harta yang dimiliki pasangan ini, Victoria dan Beckham boleh saja duduk di rumah serta tak perlu bersusah-payah bertemu masyarakat di negara tersebut. Tapi mereka berdua memilih untuk berjauhan daripada keluarga dan anak-anak demi menjadikan bumi ini tempat yang selesa untuk didiami. Moga akan ada lebih ramai individu, selebriti dan golongan ternama menjadikan pasangan selebriti antarabangsa ini sebagai inspirasi untuk menjayakan misi kemanusiaan.

Sumber: Nona