‘Mereka nak tengok saya melutut dan malukan saya’

Pakatan Harapan mengalu-alukan penyertaan Dr Mahathir Mohamad dalam pembangkang walaupun dengan sejarah panjang perseteruan antara pemimpin mereka dengan bekas perdana menteri itu, yang didakwa mentadbir secara kuku besi, menekan para penentang dan melemahkan institusi negara.

Mahathir bagaimanapun tidak pernah secara langsung mengaku pelbagai tuduhan terhadapnya dan seringkali mengalihkan kesalahan misalnya kepada polis untuk Operasi Lalang 1987 yang menyaksikan sejumlah pemimpin pembangkang dan aktivis ditahan bawah ISA.

Begitu juga dengan penahanan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim buat kali pertama kira-kira dua dekad lalu.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini semalam, Mahathir tampak sedikit terganggu ketika ditanya soal ini dan seperti yang dijangka kekal tidak apologetik.

Beliau berkata Anwar sendiri tidak meminta permohonan maaf daripadanya, maka tiada sebab untuk sesetengah pemimpin masyarakat sivil terus membangkitkannya.

“Keluarganya tidak minta saya (untuk minta maaf). Mereka nak lihat saya melutut…(dan) malukan saya. Itu yang mereka mahu. Tetapi mereka orang luar, bukan keluarga (Anwar),” katanya dalam wawancara di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Ketika Malaysiakini membangkitkan permohonan maaf itu bukan atas apa yang terjadi terhadap Anwar sahaja tetapi insiden lain sepanjang 22 tahun pentadbirannya, Mahathir berkata: “Tetapi mereka ini bukan ahli politik, tetapi NGO.”

“Sebab mereka menjadi NGO adalah agar mereka boleh kritikal terhadap semua perkara. Sertai parti politik dan anda akan tahu ada kekangan tertentu,” katanya lagi.

Mutakhir ini beliau ada membuat permohonan maaf  – antaranya berhubung penggunaan istilah keling dan kenyataannya bahawa mereka yang terkorban dalam tragedi berdarah Memali pada 1985 sebagai “mati katak“.

Namun nampaknya itu saja permohonan maaf yang akan datang daripadanya.

‘Saya ada curi duit?’

Berkenaan soal kebebasan media ketika eranya, Mahathir menafikan dirinya bertanggungjawab ke atas setiap panggilan telefon daripada Pejabat Perdana Menteri ketika organisasi media ketika itu dan mengarahkan berita tertentu tidak disiarkan.

Beliau sebaliknya menyalahkan orang bawahannya.

“Bukan saya! Saya fikir jika anda hadir sidang media saya, anda tanya apa saja soalan (dan) saya tak pernah berkata tidak…Jika ada orang lain yang telefon (organisasi media), ia bukan tanggungjawab saya,” katanya.

Menjawab satu lagi soalan, Mahathir turut menyangkal tanggapan bahawa ketika memegang kuasa, tindakan hanya diambil dengan arahannya.

“Mengarut! Ini tidak benar. Orang (bawahan dan kakitangannya) fikir ‘Mahathir tidak suka ini…kita mesti hentikannya’.

“Kakitangan saya selalu fikir saya tidak suka itu dan ini, ia tidak boleh dilakukan. (Tapi) itu keputusan mereka. Saya tidak bimbang apa-apa.”

Beliau kemudian membandingkan dirinya dengan Datuk Seri Najib Razak, menegaskan mereka berdua sama sekali berbeza.

“Saya benarkan orang tubuhkan parti untuk lawan saya. Najib tidak. Ketika saya tubuhkan parti, dia kata ia tidak sah. Dia tidak mahu mendaftarkan gabungan (HARAPAN). Saya pernah buat begitu? Tidak.

“Ada saya curi duit? Saya ada skandal seperti Najib? Adakah saya MO1 (Malaysian Official 1)? Lihatlah perbezaan ini. Jangan hanya kata ‘anda dan Najib sama saja’. Apa yang sama? Tiada langsung.

“Saya tidak buat perkara seperti itu. Saya tak salah guna kuasa. Dia salah guna. Kini tiada lagi pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.

“Tiada lagi kedaulatan undang-undang. Jika ada kita boleh lapor salah lakunya dan polis akan ambil tindakan. (Sebaliknya) orang yang buat laporan ditangkap.

“Ada saya buat begitu? Lihatlah dengan wajar…Jangan cakap ada yang telefon (organisasi media) dan apa…,” katanya yang jelas sedikit marah.

Diktator takkan letak jawatan

Ketika dibangkitkan tentang sejumlah buku dan laporan yang merekodkan dakwaan salah lakunya, sekali lagi Mahathir enggan mengakui dakwaan itu.

“Ketika ada berkuasa ramai yang tidak akan suka kepada anda. Mereka akan tulis hal yang tidak baik tentang anda. Bagi saya itu biasa. Mereka gelar saya diktator. Beritahu saya ada mana-mana diktator yang letak jawatan?

“Atau (diktator) yang tidak lantik anak sebagai penggantinya? (Presiden Syria) Bashar Al-Assad anak kepada (presiden sebelumnya) Hafiz (Al-Assad). Adakah saya begitu? Anak saya malah tidak dapat masuk parti tapi anda tidak berkata apa-apa tentangnya.

“Saya tidak benarkan mereka ada urusan perniagaan dengan kerajaan. Anda tidak mahu cakap tentang perkara itu. Saya tidak benarkan nama saya digunakan untuk (menamakan) tempat seperti orang lain.

“Kebanyakan sekolah menggunakan nama menteri, saya tidak. Tetapi anda tidak lihat perkara itu. Saya hentikan penggunaan plat ‘menteri’ di kereta…tetapi anda tidak mahu lihatnya. Anda hanya lihat perkara yang tak baik…Saya tahu berita tak baik adalah berita yang bagus,” katanya lagi.

Mahathir juga enggan mengakui memainkan peranan signifikan dalam menumpukan kuasa di tangan perdana menteri yang akhirnya memberi kesukaran kepadanya untuk menyingkirkan Najib.

“Tidak, itu salah guna kuasa! Undang-undang nyatakan secara jelas perlunya kedaulatan undang-undang. Kuasa dipisahkan kepada legislatif, eksekutif dan kehakiman. Semua ini diabaikan (Najib)…saya tidak,” katanya.

Beliau sekali lagi menegaskan perlu menanggung kesan akibat tindakan mereka yang berada bawahnya.

“Bukan senang mentadbir negara. Walaupun anda ingin membuat perkara baik, adakala ia dianggap perkara buruk.

“Setiap kali saya bina jambatan (orang kata) ‘membazir wang’. Tetapi mereka mahu bina jambatan lain. Saya bina Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) (orang kata) ‘membazir wang’. Tapi tanpa PLUS apa yang akan terjadi pada Malaysia?

“Saya pindahkan pentadbiran ke Putrajaya, (orang kata) ‘membazir wang’. Tetapi sekarang mereka mahu datang ke Putrajaya. Saya nak kata bila anda buat keputusan, pastinya ia tidak sempurna. Ramai yang akan fikir ia keputusan yang buruk,” katanya lagi.

Sumber: malaysiakini