“Pagi Masih Kacang, Petang Sudah Jadi Tempe, Esok Dah Naik Berkulat” – Zahid Hamidi

Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyelar kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan yang sentiasa tidak konsisten dalam memberikan fakta.

Jelas beliau, akujanji yang diucapkan oleh mereka sehingga kini tidak satu pun dilaksanakan.

“Selaku kerajaan baru, sudah pasti mereka akan diperhatikan. Kita lihat contohnya, apabila diisytiharkan mereka menang, kata harga minyak akan turun tetapi kenyataannya sehingga sekarang tidak turun.

“Mereka juga isytihar GST akan dihapuskan tapi tidak ada barang yang harga turun walaupun GST 0 peratus. Ada 90 barangan yang telah naik harga. Begitu juga kalau kita lihat PTPTN, apabila mereka kata berpendapatan RM4 ribu ke bawah tidak perlu bayar maka situasi untuk pembiayaan semula melalui PTPTN tidak dapat dilaksanakan.

“Mereka juga mengatakan hutang negara RM1 trilion, tetapi yang jelas hanya RM686.8 billion. Mereka katakan ada pinjaman asing tetapi sebenarnya domestic debt iaitu pinjaman dalam negara… ertinya tidak ada pengaliran wang tunai ke luar negara,” ujar beliau dalam program berbuka puasa bersama Ketua-ketua Penerangan Bahagian UMNO.

Selain itu jelas Zahid, kerajaan baru juga menuduh kerajaan terdahulu membuat pinjaman dalam bentuk US dollar dan yen tetapi kenyataan dari Bank Negara membuktikan hanya dua peratus sahaja pinjaman dalam bentuk US dollar dan satu peratus dalam yen.

“Ertinya pinjaman kita dalam bentuk ringgit…. Mereka juga kata Bursa KL akan meningkat tapi akhirnya merudum jatuh….

“Dulu mereka kata ekonomi berada dalam kekecamukan dan negara hampir bankrup tetapi akhirnya mereka kata ekonomi kukuh. Siang cakap lain petang cakap lain. Macam tempe… pagi masih lagi kacang, petang sudah jadi tempe, esok sudah naik kulat,” selar beliau.

Justeru, beliau berharap agar semua Ahli Parlimen BN bersatu menjadi pasukan pembangkang yang efektif di Dewan Rakyat bagi mengekang fitnah dan tohmahan tidak benar kerajaan baru di bawah Pakatan Harapan.

SUMBER : UMNO ONLINE
[VIDEO] Harga Minyak RM1.50 Hari Pertama PH Memerintah? Ini Cerita Sebenar

Di media sosial ramai netizen kini menuntut janji Pakatan Harapan (PH) untuk menurunkan harga minyak kepada RM1.50 sekiranya berjaya merampas pentadbiran di Putrajaya.

Ramai juga dalam kalangan netizen memuatnaik kembali video kenyataan Naib Presiden PKR Rafizi Ramli membuat janji berkenaan dengan berkata, “Pakatan Rakyat berjanji, harga minyak akan diturunkan serta merta pada hari pertama Pakatan Rakyat berkuasa di Putrajaya.”

Jika diamati kenyataan tersebut, ianya merupakan janji pra Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berikutan Rafizi menyebut ‘Pakatan Rakyat’ (PR) – gabungan DAP, PKR dan PAS yang sudah terkubur pasca PRU13 – dan kini diganti kepada ‘Pakatan Harapan’ iaitu gabungan PKR, DAP, PAN dan PPBM.

Walaubagaimanapun, menerusi manifesto ’10 Janji 100 Hari’, PH juga ada membuat janji untuk menurunkan harga minyak bersama janji-janji lain termasuk janji menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), penghapusan hutang Felda, penangguhan bayaran pinjaman PTPTN, dll

Sepertimana janji PR pada PRU13 untuk menurunkan harga minyak, janji PH untuk menurunkan harga minyak juga menerusi pengenalan semula subsidi.

Namun, PH tidak lagi menjanjikan untuk menetapkan harga kepada RM1.50 dengan memberikan subsidi pukal kepada seluruh rakyat Malaysia tetapi hanya kepada golongan tertentu sahaja – subsidi bersasar.

Memetik analisa manifesto PH berkaitan automotif oleh portal berita permotoran, Paul Tan, PH akan menetapkan harga minyak secara bulanan kepada kelompok yang layak iaitu pengguna motosikal dibawah 125cc dan kereta 1.3 liter ke bawah sahaja.

Kaedah digunakan adalah memberikan kuota tertentu kepada kelompok sasar dan dikenalpasti menerusi kad pengenalan individu bagi mengelak unsur ketirisan.

“Dengan cara ini, subsidi yang akan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukannya,” lapor Paul Tan.

Untuk rekod, subsidi bersasar telahpun dimulakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dalam bentuk agihan tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

BR1M diperkenalkan pada 2012 dengan agihan RM500 kepada isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah dan diperluaskan kepada individu bujang berpendapatan kurang RM2,000 pada tahun berikutnya dengan bantuan sebanyak RM250.

Pada 2014, BR1M bagi keluarga berpendapatan RM3,000 ke bawah dinaikkan kepada RM700 sementara individu bujang sebanyak RM300.

Kadar BR1M untuk 2018 kepada rakyat berpendapatan di bawah RM3,000 dan peserta e-kasih diagihkan kepada RM1,200; isi rumah berpendapatan RM3,001 hingga RM4,000 sebanyak RM900 dan individu bujang berpendapatan di bawah RM2,000 menerima bantuan RM450.

SUMBER : MALAYSIAN DIGEST