“Saya bukan penjenayah” – kata Datuk Seri Jamal sebelum lari ke Pulau Karimun, Indonesia

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar,  Datuk Seri Jamal Md Yunos dipercayai telah melarikan diri ke kepulauan Indonesia sejak Ahad lalu menggunakan laluan bot dari Johor.

Menurut sumber, Jamal dipercayai menuju ke pekan Tanjung Balai Karimun di Pulau Karimun, dalam kepulauan Riau, Indonesia.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, SAC Fadzil Ahmat bagaimanapun enggan mengesahkan sama ada Jamal masih berada di negara ini atau sebaliknya. Namun, pihaknya telah mendapatkan waran tangkap dari mahkamah untuk menangkap Jamal.

Fadzil berkata, pihaknya juga telah meminta Jabatan Imigresen menyenarai hitam Jamal dan menafikan dakwaan kononnya tindakan itu dibuat atas campur tangan dari kerajaan.

Terdahulu, Jamal telah menghilangkan diri dari Hospital Ampang Puteri pada 25 Mei lalu. Namun Jamal menafikan dia melarikan diri dan mendakwa berlaku salahfaham mengenai proses jaminan yang dianggap sudah selesai menyebabkan dia terus keluar tergesa-gesa untuk menyelesaikan urusan di Tabung Haji.

Jamal kemudian berjanji akan menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya dan memberi kerjasama. Malangnya Jamal tidak hadir di lokasi yang dinyatakan.
Tidak berapa lama kemudian, Jamal mengeluarkan video berdurasi 7 minit yang dirakam di ladang kelapa sawit di mana dia mendakwa ada usaha terancang dari pihak-pihak tertentu mengarahkan polis untuk mengenakannya dalam apa jua keadaan.

Jamal turut meminta Menteri Dalam Negeri memberi perlindungan kepadanya agar tidak dizalimi dan dianiaya kerana dia bukan penjenayah atau pengganas.

Saya mohon Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan jaminan kepada saya seorang pemimpin politik, pemimpin aktivis supaya tidak dizalimi, tidak dianiaya.

“Saya bukannya penjenayah tetapi saya diperlakukan seperti penjenayah dan pengganas sekarang ini,” kata Jamal.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak rayuan ‘melindungi’ Jamal yang disabitkan dengan sembilan kes itu.

“Apa nak lindung apa? Dia tahu dia buat salah, lepas tu dia lari.

“Saya sedang minta Ketua Polis Negara untuk memburu dia. Dengar kata dia di Indonesia dan kita minta kerjasama polis di sana untuk mencari dia dan bawa ke sini.

“Apa pun kesalahan, saya serah kepada pihak berkuasa untuk ambil tindakan sesuai dengan undang-undang yang ada,” katanya.
INFORMASI
Jamal Yunos merupakan pengusaha kedai Ikan Bakar Sekinchan yang ‘berjaya’ di Sungai Besar, Selangor. Beliau juga pernah terlibat dalam perniagaan jual beli kereta. Beliau dilahirkan pada tahun 1970, juga merupakan aktivis yang dipanggil sebagai “Baju Merah” untuk menentang Bersih 5 yang diadakan pada bulan November 2016. Beliau juga sering membuat perhimpunan untuk menentang kempen Bersih 5 yang dianjurkan sebelum Perhimpunan Bersih 5 yang sebenar diadakan di Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur, Malaysia pada 19 November 2016.

Beliau merupakan Ketua Pemuda UMNO cawangan Sungai Besar. Pada 21 Disember 2016, beliau membuat protes dengan hanya bertuala sahaja di hadapan pejabat SUK Selangor kerana ingin membidaskan isu air yang melanda di Selangor kepada Menteri Besar Selangor iaitu Mohamed Azmin Ali dan menyatakan ingin menumpang mandi di pejabat SUK Selangor. Ini berikutan air yang melanda negeri Selangor. Ini mengakibatkan Menteri Besar Selangor menegaskan bahawa rakyat Selangor berhak untuk memilih sesiapa pun untuk menjadi Menteri Besar Selangor, termasuklah pemimpin Umno yang bertuala.

Sumber : Thereporter